SEJARAH SEKOLAH

LATAR BELAKANG SEKOLAH     

 
    SMK Jengka Pusat 2 terletak di kawasan Lembaga  Kemajuan Wilayah Jengka (LKWJ) iaitu di Bandar Jengka berhadapan dengan Universiti Teknologi MARA Cawangan Pahang Kampus Jengka. Sekolah ini dibuka pada 1 Disember 1991 dengan bilangan pelajar Tingkatan Satu seramai 254 orang. Tenaga pengajarnya seramai 12 orang. Keseluruhan para pelajar sekolah ini terdiri daripada anak-anak peneroka dari Felda Jengka 14, Jengka 15, Jengka 16 dan Jengka 20. Pengetua pertama sekolah ini ialah Puan Hajah Asmah binti Ismail.
    
    Keluasan sekolah ini 25 ekar merangkumi 3 bangunan pada awalnya iaitu Blok A, B dan C. Pada bulan Jun 1992, sebuah Bengkel Kemahiran Hidup telah siap dibina bersebelahan dengan kantin. Bengkel ini mempunyai tiga buah bilik. Pada bulan Mac 1993, sebuah astaka juga telah siap dibina dan pada tahun yang sama buat julung kalinya Kejohanan Olahraga MSSD Maran telah diadakan di sekolah ini. Pada tahun 2002, 4 bangunan tambahan telah diluluskan iaitu sebuah bengkel kemahiran hidup, makmal komputer, dewan dan blok kelas PdPc yang disiapkan pada Ogos 2003. Semua bangunan tambahan ini telah beroperasi sepenuhnya pada tahun 2004.

    Dari segi akademik, calon Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) buat pertama kalinya menduduki peperiksaan pada tahun 1994. Dalam keadaan serba kekurangan, pelajar sulung sekolah ini telah memahatkan nama SMKJP2 antara sekolah yang terbaik di daerah Maran.

      Pada hari ini, pelajar sekolah dianggarkan seramai 440 - 450 orang yang terdiri daripada anak-anak peneroka Felda Jengka 11, Felda Jengka 14, Taman Rantau Perintis, Taman Jengka Impian dan Taman Permatang Shahbandar 1 dan 2 serta kawasan di bandar Jengka. Pakej Mata Pelajaran Aliran STEM, Kemanusiaan dan Sastera Ikhtisas masih ditawarkan kepada para pelajar T4 & T5 dengan kekuatan tenaga guru seramai 48 orang dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) berjumlah 12 orang. Terdapat sebuah bengkel kemahiran hidup yang telah dinaik taraf menjadi bengkel mata pelajaran vokasional (MPV); Pemprosesan Makanan dan telah memulakan operasinya pada awal tahun 2010.
    
    Lebih daripada tiga dekad SMK Jengka Pusat 2 telah melalui proses transformasi dengan menabur bakti kepada warga Jengka sehingga telah berjaya menerima Anugerah Tawaran Baru KPM pada tahun 2011, dan fungsinya terus diperhebatkan dengan memberi perkhidmatan pendidikan berkualiti kepada agama, bangsa dan negara. Semoga SMK Jengka Pusat 2 terus mencapai kegemilangan sesuai dengan visi 2K: Kemenjadian dan Kebolehpasaran secara holistik dalam semua bidang khususnya kurikulum, hal ehwal murid, kokurikulum dan sahsiah unggul.

Pengetua yang telah berkhidmat di SMKJP2:

BIL

NAMA PENGETUA

TEMPOH BERTUGAS

1

Puan Hajah Asmah binti Ismail

Disember 1991 – Disember 1993

2

Encik Wan Mohd Nawi bin Wan Mohamood

Januari 1995 – April 1998

3

Tuan Haji Mohd Farid bin Yaakob

Jun 1998 – Januari 2003

4

Encik Wan Mohd Nawi bin Wan Mohamood

Jun 2003 – April 2006

5

Puan Nishah binti Ismail

April 2006 – Oktober 2007

6

Encik Yahya bin Awang

November 2007 – Disember 2011

7

Puan Hajah Ramlah binti Mat Diah

Disember 2011 – April 2016

8

Tuan Haji Rusly bin Musa

April 2016 – 31 Mei 2020

9

Tuan Haji Zulkefli bin Haji Badion

1 Jun 2020 – 21 Mac 2022

10

Encik Mohd Idris bin Chamingan

 25 Julai 2022 - Kini



No comments:

Post a Comment